SHAH ALAM, 6 NOV: Beberapa laluan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan ditutup dan dilencongkan sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Klang Royal City Marathon 2025 yang berlangsung hujung minggu ini.
Menurut kenyataan rasmi WCE, penutupan itu melibatkan laluan dari Persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan hingga Persimpangan Assam Jawa, bermula jam 10 malam pada 8 November hingga 8 pagi pada 9 November.
Langkah berkenaan diambil bagi memastikan keselamatan peserta maraton serta kelancaran acara sukan bertaraf antarabangsa itu yang dijangka menarik penyertaan ribuan pelari dari dalam dan luar negara.
Penutupan dan lencongan trafik akan dilaksanakan di beberapa lokasi utama berikut:
Susur masuk ke WCE dari Lebuhraya Grand Sepadu
Susur masuk ke WCE dari Jalan Meru
Susur masuk ke WCE dari Persiaran Hamzah Alang
Susur masuk ke WCE dari Lebuhraya LATAR
Susur masuk ke WCE dari Jalan Kuala Selangor
“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi papan tanda, lencongan sementara dan arahan petugas trafik bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut disaran menggunakan laluan alternatif yang disediakan serta merujuk laman rasmi WCE untuk maklumat terkini mengenai pelaksanaan penutupan berkenaan.
Untuk pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi talian infoline WCE di 1700-81-6600.






