KOTA KINABALU, 6 NOV: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa dalam pentadbiran dan pengurusan dana Tabung Zakat seperti yang tular semula di beberapa laman media sosial baru-baru ini.
Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin, menegaskan bahawa tuduhan tersebut merupakan isu lama yang telah disiasat dan didapati tidak berasas sama sekali.
“Pihak MUIS ingin menegaskan bahawa dakwaan berhubung salah guna kuasa itu adalah tidak benar. Ia merupakan tuduhan lama yang telah disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, perkara itu pernah mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah serta Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama, yang kemudian mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana zakat.
Tambah Datuk Seri Yahya, MUIS juga telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang menyebarkan tuduhan berunsur jahat tersebut, dan prosiding kes berkenaan masih berjalan di Mahkamah.
“MUIS menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan imej serta kredibiliti institusi ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara sebelum ini mendapati tiada sebarang unsur salah laku atau penyelewengan melibatkan pegawai mahupun pengurusan MUIS.
MUIS turut menerima Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut daripada Jabatan Audit Negara, selain berjaya memperoleh Pensijilan Antarabangsa MS ISO 9001:2015 serta kini berada di peringkat akhir untuk pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (MS ISO 37001:2016).
Yahya turut menegaskan bahawa pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan MUIS memastikan tadbir urus yang bersih, berintegriti dan bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
“Kami akan terus berpegang kepada prinsip amanah dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab kepada umat Islam di Sabah. MUIS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menjejaskan nama baik institusi ini,” katanya.
MUIS turut menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah atau tohmahan berunsur jahat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.




