KUALA LUMPUR, 10 NOV: Peruntukan tinggi diperlukan tahun depan bagi terus memperkasa sektor pelaburan termasuk memperluaskan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di negara luar.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata peruntukan berkenaan bakal memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu gerbang Asean selain turut menumpu sektor penting lain antaranya semikonduktor serta aeroangkasa.
“Kita harapkan jumlah peruntukan tinggi supaya SIBS boleh dianjur bukan hanya setakat di Selangor atau Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sahaja. Mungkin perlu diperluas ke luar negara dan formula ini sedang diteliti lanjut.
“Peruntukan tahun depan juga untuk membangunkan sektor lain serta mempromosikannya kepada pelabur luar. Ini sangat penting untuk merangsang ekonomi negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Belanjawan Selangor 2026 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 14 November ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Menerusi Facebooknya minggu lalu, Amirudin memaklumkan pihaknya kini giat memuktamadkan intipati akhir perancangan belanjawan tahun depan yang disasar akan memberi manfaat kepada rakyat.
Jelasnya belanjawan tahun depan akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan program baharu berteraskan pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan rakyat terus maju seiring pembangunan negeri.
Belanjawan Selangor 2026 juga dirangka dengan pendekatan menyeluruh yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.








