KLANG, 5 NOV: Selangor boleh melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal, kata Naib Pengerusi DAP Selangor.
Dato’ Ng Suee Lim berkata pentadbiran mempunyai kuasa penuh untuk membubarkan DUN pada bila-bila masa sekali gus membuka ruang pelaksanaan PRN seiring PRU.
“Saya menyokong penuh cadangan Setiausaha DAP supaya PRN dan PRU diadakan serentak. Tujuannya jelas iaitu menjimatkan kos dan memudahkan rakyat mengundi sekali sahaja.
“Jika dibuat berasingan pun boleh, tetapi negeri berhak menentukan pembubaran bila-bila masa. Melaksanakannya serentak lebih praktikal dan mengelakkan situasi seperti pesta mengundi setiap tahun.
“Saya sokong cadangan ini, namun jika ada pihak tidak bersetuju, ia tidak boleh dipaksa kerana hanya sekadar cadangan,” katanya yang juga EXCO Kerajaan Negeri.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor bagi daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak pada peringkat persekutuan dan negeri, sebagai langkah memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.
Beliau berkata meskipun keputusan membubarkan Parlimen merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri, DAP sebagai antara parti dominan dalam kerajaan akan memberikan pandangan untuk menyelaras pembubaran, sekiranya pilihan raya serentak mahu dilaksanakan.
Jelasnya, beberapa negeri bakal melalui tempoh tamat penggal termasuk Melaka pada Dis 2026, Sarawak pada Feb 2027 dan Johor pada April 2027, sekali gus mewujudkan ruang teknikal untuk penyelarasan pembubaran dengan Parlimen jika ia ditetapkan lebih awal.
Sebelum ini, Setiausaha DAP Anthony Loke turut menyatakan sokongan agar pilihan raya peringkat negeri dan persekutuan dilaksanakan serentak sebagai langkah meningkatkan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan.




