SHAH ALAM, 6 NOV: Cadangan melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran pilihan raya serta menjimatkan perbelanjaan negara.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata pendekatan itu bukan sahaja memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah memberi manfaat besar kepada parti politik dan pengundi.

“Sekiranya PRU dan PRN diadakan secara berasingan, kos meningkat kerana SPR perlu menggandakan operasi termasuk perancangan, logistik dan tenaga kerja.
“Pelaksanaan serentak menjimatkan masa, sumber dan tenaga sekali gus meningkatkan keberkesanan keseluruhan proses demokrasi,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan pilihan raya bersepadu juga dapat mengurangkan keletihan politik dalam kalangan rakyat dan parti yang lazimnya berlaku apabila pilihan raya diadakan secara berperingkat di pelbagai negeri.
Mengulas kesediaan negeri-negeri menghadapi pilihan raya serentak, Dr Mazlan berkata hampir semua negeri kini berada dalam kedudukan bersedia.
“Sabah perlu mengadakan pilihan raya tahun ini kerana Dewan Undangan Negeri mencapai tempoh matang lima tahun.
“Bagi Melaka dan Johor pula, mereka boleh menyertai pilihan raya serentak memandangkan kedua-dua negeri mempunyai hubungan erat dengan Kerajaan Madani melalui penguasaan UMNO sebagai rakan komponen kerajaan,” katanya.
Dr Mazlan turut menegaskan bahawa SPR memiliki keupayaan teknikal dan taktikal mencukupi berdasarkan pengalaman mengendalikan pilihan raya berskala besar sebelum ini.







