SHAH ALAM, 5 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi menerima pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 Negeri Sembilan daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman hari ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata pemakluman itu diterima menerusi surat bertarikh 5 Jun 2026 selaras dengan Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“SPR secara rasminya telah menerima pemakluman daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus berhubung pembubaran Dewan Negeri yang ke-15 Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan Fasal 56(4) undang-undang yang sama, pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN berkenaan.
Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Ramlan, tarikh mesyuarat khas tersebut akan dimaklumkan kemudian.
Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang media khas lewat malam semalam mengumumkan DUN Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan hari ini.
Beliau berkata pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti semalam.








