ad

Selangor sasar 35 peratus pelancong antarabangsa tahun hadapan

4 Nov 2025, 12:33 PM
Selangor sasar 35 peratus pelancong antarabangsa tahun hadapan
Selangor sasar 35 peratus pelancong antarabangsa tahun hadapan
Selangor sasar 35 peratus pelancong antarabangsa tahun hadapan
Selangor sasar 35 peratus pelancong antarabangsa tahun hadapan

KLANG, 4 NOV: Selangor menyasarkan peningkatan pelancong antarabangsa kepada 35 peratus pada tahun hadapan sebagai langkah memperkukuh sektor pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata industri pelancongan antara sektor yang memberi impak segera kepada ekonomi, justeru peningkatan pelancong luar dijangka memperkukuh prestasi sektor berkenaan.

“Ramai pelancong yang datang ke Selangor kerana atas pelbagai segmen termasuk kebudayaan, makanan, membeli-belah, perubatan pelancongan dan keagamaan.

“Setakat ini, sehingga suku kedua lebih empat juta pelancong direkodkan dengan 72 peratus merupakan pelancong domestik. Untuk tahun hadapan kita sasar 65 peratus pelancong domestik manakala 35 peratus antarabangsa," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Suee Lim optimis sasaran lapan juta pelancong dapat dicapai tahun ini hasil pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Tourism Selangor bersama pemain industri.

Bagi edisi kali ini, seramai 49 individu dilantik menjadi hos pelancongan dan menerima sijil penghargaan selepas mengikuti program yang bertujuan memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti.

Mengulas mengenai program, Suee Lim memaklumkan hos komuniti merupakan individu terlatih yang menerima latihan dalam membantu pelancongan dalam komuniti masing-masing.

“Mereka bertindak selaku pemandu pelancong dengan menonjolkan keistimewaan atau kelebihan di komuniti masing-masing termasuk memberi penjelasan.

“Hos komuniti ini mereka secara sambilan sahaja, namun berharap menjadi sepenuh masa supaya industri pelancongan Selangor terus berkembang,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, Sky Mirror, Splash Mania dan Taman Persahabatan Selangor-Jepun Majlis Bandaraya Shah Alam antara yang menerima Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2024.