ad

Permohonan tapak Bazar Ramadan MPHS dibuka, caj tambahan RM100 bagi plastik sekali guna

4 Nov 2025, 4:42 AM
Permohonan tapak Bazar Ramadan MPHS dibuka, caj tambahan RM100 bagi plastik sekali guna
Permohonan tapak Bazar Ramadan MPHS dibuka, caj tambahan RM100 bagi plastik sekali guna

SHAH ALAM, 4 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sudah membuka permohonan bagi penyertaan Bazar Ramadan Mampan 2026 / 1447H bermula 3 hingga 30 November 2025.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian (online) dengan keputusan permohonan akan diumumkan pada 5 Januari 2026, manakala bayaran fi petak perlu diselesaikan antara 5 hingga 16 Januari 2026.

Menerusi hantaran di Facebook, MPHS turut memaklumkan yang caj tambahan RM100 akan dikenakan kepada peniaga yang menggunakan beg plastik sekali guna.

Selain itu, tambahan RM50 akan dikenakan bagi jualan air tebu, air kelapa, serta makanan bakar, panggang atau goreng, dan caj pematuhan RM300 bagi setiap peniaga.

Antara lokasi utama bazar termasuk:

  • Tapak Penjaja JRD, Ligamas, Batang Kali (RM600 bagi 151 petak)

  • Tapak Pasar Malam Bukit Sentosa (RM400 bagi 150 petak)

  • Tapak Penjaja Taman Bunga Raya, Bukit Sentosa (RM600 bagi 130 petak)

  • Serta beberapa lokasi lain di Bukit Beruntung, Sungai Buaya dan Serendah.

MPHS turut mengingatkan bahawa setiap permohonan dihadkan kepada dua petak sahaja dan permohonan yang lengkap sahaja akan diproses.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPHS di talian 03-6064 1331 (samb. 131/159/160).