PETALING JAYA, 4 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus menggandakan usaha penguatkuasaan terhadap peniaga dan premis di PJU 8, Damansara Perdana dengan lebih 100 kompaun dikeluarkan sejak Januari tahun ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, YBrs Tuan Hj Mohamad Zahri Hj Samingon berkata, sebanyak 105 kompaun dikeluarkan kepada penjaja yang melanggar syarat lesen, selain 91 kompaun terhadap halangan tempat awam, 26 kompaun iklan tidak sah dan 2,387 kompaun trafik.
“Hari ini sahaja, kami telah menyita barangan daripada dua penjaja dan lima halangan tempat awam. MBPJ tidak menghalang mana-mana pihak untuk berniaga, tetapi mohon patuhi peraturan sedia ada.
“Mana-mana yang ingkar akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang dan akta yang berkuat kuasa,” katanya ketika mengetuai operasi penguatkuasaan di lokasi berkenaan, semalam.
Operasi yang bermula jam 10 pagi itu turut disertai Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBPJ, Tuan Mohd Fauzi Maarop dan melibatkan semakan menyeluruh terhadap pematuhan lesen, teknikal, kesihatan dan kebersihan.
10 penjaja dan 21 premis diperiksa dengan 22 kompaun dikeluarkan dan tujuh premis diarahkan tutup kerana kotor serta gagal mematuhi syarat kebersihan.
Sebanyak sembilan tindakan kapit roda turut dilakukan dan 404 kompaun trafik dikeluarkan.
MBPJ turut mengambil tindakan terhadap struktur binaan haram dengan mengeluarkan empat notis amaran dan empat notis berhenti kerja. Selain itu, satu notis sewaan petak khas dikeluarkan hasil semakan terhadap lapan premis.
Dalam hantaran dikeluarkan,MBPJ turut menegaskan yang mereka akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara konsisten bagi memastikan peraturan dipatuhi.




