KUALA SELANGOR, 7 JUN: Lokasi majlis perasmian dan penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) serta Para SUKMA ke-22 Selangor 2026 dijangka dimuktamadkan bulan ini.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata antara lokasi yang sedang dipertimbangkan ialah Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Menurut beliau, keputusan akhir akan dibuat berdasarkan penilaian sekretariat SUKMA Selangor bagi memastikan kelancaran penganjuran upacara tersebut.
“Antara cadangan yang turut dibincangkan adalah menggabungkan majlis pembukaan SUKMA dan Para SUKMA bagi tujuan pelarasan serta kawalan perbelanjaan secara berhemah.
“Bagaimanapun, keputusan berhubung perkara itu masih dalam penelitian dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tema dan pengenalan maskot rasmi SUKMA Selangor 2026 di sini, malam tadi.

Mengulas persiapan penganjuran, Mohd Najwan berkata semua venue pertandingan yang diumumkan sebelum ini kekal tanpa sebarang perubahan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan atlet Selangor berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik menjelang temasya berkenaan.
“Saya melihat atlet Selangor berada dalam keadaan bersedia, bersemangat dan memberi tumpuan penuh kepada latihan tanpa sebarang gangguan.
“Senarai akhir atlet yang akan mewakili Selangor ke SUKMA akan diumumkan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dalam masa terdekat,” ujarnya.
SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan, manakala Para SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di 52 venue membabitkan sembilan daerah di Selangor.
Para SUKMA pula melibatkan 316 acara daripada 10 jenis sukan yang akan berlangsung di daerah Petaling dan Klang.










