ad

Lelaki cacat kekal terima ganti rugi RM7.4 juta akibat kecuaian hospital, doktor

3 Nov 2025, 10:56 AM
Lelaki cacat kekal terima ganti rugi RM7.4 juta akibat kecuaian hospital, doktor

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menganugerahkan RM7.4 juta kepada seorang lelaki sebagai ganti rugi dalam saman kecuaian perubatan yang difailkan terhadap sebuah hospital kerajaan dan beberapa doktornya.

Saman difailkan K Vimal Raj, 22, selepas menjadi cacat kekal pada 2019 berikutan beberapa pembedahan yang mengakibatkan pemotongan tangan kiri di bawah siku, kaki kanan di bawah lutut, serta tumit dan jari kaki kiri.

Hakim Su Tiang Joo dalam penghakimannya, berkata ganti rugi menyusul selepas penilaian ganti rugi susulan kerajaan mengakui liabiliti, lapor FMT.

Prosiding penilaian ganti rugi menyaksikan pihak plaintif iaitu Vimal dan bapanya, J Krishnasamy mengemukakan 11 saksi pakar berbanding empat saksi oleh pihak kerajaan.

Daripada jumlah ganti rugi itu, RM6.4 juta dianugerahkan untuk tujuan pembelian satu lengan robotik dan dua kaki robotik.

Sementara RM213,000 diberikan untuk kesakitan dan penderitaan dialami akibat beberapa pemotongan anggota badan, selain RM180,000 untuk penjagaan di rumah dan RM20,000 lagi sebagai ganti rugi teruk.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan kerugian pendapatan oleh bapa Vimal, J Krishnasamy.

"Tiada keterangan dokumentari dikemukakan untuk membuktikan kesnya," kata Tiang Joo dengan pihak plaintif juga dianugerahkan RM200,000 untuk kos guaman.

Plaintif yang menuntut ganti rugi RM18.3 juta diwakili barisan peguam Brijnandan Singh Bhar, Harwindar Kaur, Dhanesh Subramaniam Nair, Nathasha Bhar, Jasween Kaur, Keshvinder Kaur dan R Vinushini, sementara peguam persekutuan, Siti Asmath Che Man, mewakili kerajaan.

Krishnasamy memfailkan saman pada 2020 semasa Vimal masih di bawah umur, menamakan Kementerian Kesihatan (KKM), Hospital Ampang, tiga doktor dan kerajaan sebagai defendan.

Vimal dimasukkan sebagai plaintif selepas mencapai usia 18 tahun pada 2004, dengan tuntutan terhadap hospital dan doktor ditarik balik selepas kerajaan menerima liabiliti vikarius.

Menurut penyataan tuntutan, Vimal adalah kanak-kanak normal tanpa sebarang penyakit kritikal atau isu genetik, kecuali tindak balas alahan di kawasan kemaluan.

Pada 15 Januari 2019, Vimal dimasukkan ke Hospital Ampang, dengan pada mulanya didiagnosis hanya mengalami 'balanitis', yang dikatakan sebagai keadaan yang boleh dirawat.

Dia dibenarkan keluar hanya dua hari kemudian walaupun tidak pulih sepenuhnya. Vimal bagaimanapun dibawa ke jabatan kecemasan hospital untuk rawatan perubatan segera selepas tidak sedar di rumah.

Pada 23 Januari, Vimal koma dan ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan kakitangan perubatan mengarahkan Krishnasamy menandatangani suatu borang kebenaran kosong, tanpa menjelaskan risiko serta jenis rawatan atau ubat yang akan diberikan kepada anaknya.

Keesokan harinya, bapanya menyedari jari kaki dan tangan Vimal menjadi hitam dan bengkak, dengan Krishnasamy berkata kakitangan perubatan hospital tidak memberikan sebarang maklumat mengenai keadaan anaknya yang semakin merosot.

Antara Mac hingga November 2019, anggota badan Vimal dipotong, menyebabkan kecacatan teruk.