ad

Belanjawan Selangor 2026: Harap peruntuk dana khas tangani krisis kesihatan mental remaja

4 Nov 2025, 1:00 AM
Belanjawan Selangor 2026: Harap peruntuk dana khas tangani krisis kesihatan mental remaja

SHAH ALAM, 4 NOV: Belanjawan Selangor 2026 yang bakal dibentangkan 14 November ini diharap memperuntuk dana khusus bagi menangani isu kesihatan mental, terutama dalam kalangan remaja dan pelajar.

Chef muda dan pempengaruh, Danish Harraz Abdul Hafiz, 18, berkata langkah itu penting bagi melahirkan generasi muda yang seimbang emosi dan mental.

Menurutnya, peruntukan untuk kesihatan mental penting terutama kepada remaja dan pelajar kerana berdasarkan Kajian Kesihatan Mental Golongan Muda 2023 berada pada skor 71.9 peratus iaitu tahap risiko sederhana.

“Mereka adalah masa depan negara. Mental yang sihat sangat penting untuk membina jati diri dan memperbaiki kualiti hidup.

“Saya mencadangkan program kesedaran di sekolah dan komuniti diadakan bagi membantu mengenal pasti tanda awal tekanan dan kemurungan.

Chef Danish Red Kitchen, Danish Harraz Abdul Hafiz, 18, ketika Program "Siapa Tahu" di Media Selangor, Shah Alam pada 20 Ogos 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Jika Kerajaan Negeri menyediakan bajet khas kesihatan mental, ia bukan sahaja mengurangkan stigma tetapi membantu melahirkan generasi muda lebih seimbang,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Sementara itu, aktivis hak kemanusiaan Suyashaa Srii Sukendran berkata isu kesihatan mental remaja perlu diberi perhatian serius susulan peningkatan kes buli, rogol, tikam dan bunuh diri di sekolah.

Menurutnya, ramai remaja bergelut secara senyap manakala sistem sokongan sedia ada bagi kesihatan mental masih belum mencukupi.

“Masalah ini bukan hanya soal rawatan, tetapi juga pencegahan awal. Sekolah adalah tempat utama tekanan berlaku - daripada beban akademik, pengaruh media sosial hingga perbandingan rakan sebaya.

Pengarah Bersama Pendidikan Pocket of Pink Suyashaa Srii Sukendran di Studio MSSB, Shah Alam pada 2 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Setiap sekolah menengah perlu diberikan peruntukan tahunan untuk melaksanakan modul kesihatan mental, termasuk ceramah, latihan rakan sebaya dan aktiviti kekeluargaan,” katanya yang juga Pengarah Bersama Pendidikan Pocket of Pink.

Beliau turut mencadangkan agar talian bantuan percuma, kerjasama dengan NGO dan sektor swasta, serta pembangunan permainan interaktif kesihatan mental untuk kanak-kanak diwujudkan.

Katanya, peruntukan itu bukan sekadar angka dalam bajet, tetapi tanda komitmen negeri terhadap kesejahteraan generasi muda, khususnya pelajar luar bandar dan golongan B40.

Kerajaan Negeri dijangka turut memberi tumpuan kepada isu kesihatan mental, pencegahan penyakit dan pendidikan alam sekitar dalam Belanjawan Selangor 2026.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Dr Jamaliah Jamaludin menegaskan lonjakan kes membabitkan kesihatan mental seperti buli, penderaan dan bunuh diri terutama dalam kalangan pelajar, memerlukan campur tangan serius serta tindakan awal di peringkat sekolah dan komuniti.