SHAH ALAM, 3 NOV: Kejayaan Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak Asean 2025 membuktikan perpaduan kukuh rakyat pelbagai kaum serta mengangkat martabat negara di persada antarabangsa.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, pengiktirafan itu menunjukkan keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang dihormati di rantau ini.
“Malaysia telah mempengerusikan persidangan Asean yang menaikkan martabat Malaysia di persada dunia.
"Presiden Amerika Syarikat (Donald Trump) juga menari setelah melihat kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Deepavali DUN Kota Kemuning, malam tadi.

Beliau berkata lawatan Trump baru-baru ini turut menggambarkan keutuhan perpaduan negara apabila pemimpin dunia itu terpegun dengan keharmonian rakyat Malaysia.
Menurutnya, semangat perpaduan yang ditonjolkan itu turut diterjemahkan di Selangor menerusi pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Kami telah membawa banyak perubahan di Selangor. Baru-baru ini, kami telah mengagihkan 450 baucar Deepavali kepada keluarga B40,” katanya.
Terdahulu, Preakas merasmikan majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 penduduk tempatan, dengan pelbagai persembahan kebudayaan turut menyerikan lagi sambutan Deepavali itu.




