ad

Bekas pemain bola sepak Kelantan ditahan, disyaki tembak rakyat Malaysia di Golok

3 Nov 2025, 5:17 AM
Bekas pemain bola sepak Kelantan ditahan, disyaki tembak rakyat Malaysia di Golok

SUNGAI GOLOK, 3 NOV: Polis Thailand mengesahkan penahanan seorang bekas pemain bola sepak Kelantan yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga Malaysia di Sungai Golok, Thailand, petang kelmarin.

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Polis Jetsadawit Inpraphan, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan 6 petang semalam (waktu Thailand) hasil operasi bersama polis dan tentera.

“Kami turut menyita dua pistol yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan lelaki Malaysia berusia 33 tahun itu,” katanya hari ini, lapor NST.

Beliau berkata polis mengeluarkan waran tangkap tidak lama selepas kejadian dan suspek kini ditahan di Balai Polis Sungai Golok sementara menunggu perintah reman.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Bereng, Sungai Golok, dijangka berdepan tuduhan pembunuhan terancang, pemilikan senjata api dan peluru tanpa kebenaran, serta membawa senjata di tempat awam tanpa permit.

Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga rakyat Malaysia berusia 33 tahun maut selepas dipercayai ditembak 18 das peluru oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok.