ad

BINGKAS dibuka, golongan layak diseru segera mohon - EXCO

2 Nov 2025, 2:35 PM
BINGKAS dibuka, golongan layak diseru segera mohon - EXCO

BANTING, 2 NOV: Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang menawarkan RM300 sebulan selama 24 bulan untuk pembelian barangan keperluan asas, dibuka hingga penghujung November ini.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata golongan yang layak diseru segera memohon inisiatif tersebut sekali gus meringankan beban kos sara hidup.

“Saya galakkan segera memohon sama ada di pusat khidmat DUN atau melalui platform rasmi yang disediakan.

“Sila pastikan semua dokumen sokongan dimuat naik dengan lengkap bagi melancarkan proses semakan dan kelulusan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Banting, hari ini.

BINGKAS menawarkan bantuan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan pendidikan.

Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

Bayaran bantuan berkenaan diagih menerusi aplikasi e-dompet Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi memudahkan penerima berbelanja.

Kelayakan adalah untuk pendapatan isi rumah bawah RM5,000, warganegara Malaysia dan menetap di Selangor melebihi 10 tahun serta mempunyai sekurang-kurangnya dua tanggungan berusia 18 tahun ke bawah

Permohonan boleh dibuat secara atas talian menerusi aplikasi SELangkah atau laman web rasmi www.bingkasselangor.com.