SEGAMAT, 2 NOV: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook hari ini sekali lagi menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak pada peringkat Persekutuan dan negeri, sebagai langkah memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.
Beliau berkata meskipun keputusan membubarkan Parlimen merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri, DAP sebagai antara parti dominan dalam kerajaan akan memberikan pandangan untuk menyelaras pembubaran, sekiranya pilihan raya serentak mahu dilaksanakan.
“Sama ada kita akan buat pilihan raya serentak, saya tak tahulah…sebab bila nak membubarkan Parlimen itu kuasa Perdana Menteri, tetapi sebagai dominan parti, sudah tentu kita menyokong idea untuk mengadakan pilihan raya serentak,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2025 di Siang Hai Recreation Centre di sini hari ini.
Loke berkata beberapa negeri bakal melalui tempoh tamat penggal termasuk Melaka pada Dis 2026, Sarawak pada Feb 2027 dan Johor pada April 2027, sekali gus mewujudkan ruang teknikal untuk penyelarasan pembubaran dengan Parlimen jika ia ditetapkan lebih awal.
“Kalau nak diadakan pilihan raya serentak, maka Parlimen perlu dibubarkan lebih awal untuk memberikan laluan kepada pilihan raya serentak,” katanya.
Loke berkata penyelarasan tersebut memberi kesan positif dari segi praktikaliti dan kos, khususnya melibatkan logistik seperti di Sarawak yang memerlukan belanja lebih besar bagi penganjuran pilihan raya berasingan.
“Dari segi praktikaliti, ia dapat menjimatkan kos…dan kita harap ini dapat diseragamkan dan disatukan supaya kos negara dapat dikurangkan,” katanya.
Mengulas kerjasama politik menghadapi pilihan raya akan datang, beliau berkata perbincangan mengenai model kerjasama belum dimuktamadkan, namun DAP akan menyesuaikan strategi melalui semangat perjuangan yang konsisten.
“Apa sahaja percaturan, apa sahaja model kerjasama, kita akan berjuang habis-habisan, tak perlu kita bimbang,” katanya.
Beliau berkata DAP Johor memiliki kekuatan asas yang perlu dipertahankan, termasuk lima kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi parti itu pada pilihan raya lepas.
Loke berkata rundingan bersama Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan, bagi memastikan formula paling berkesan dirangka untuk menjamin kestabilan negara, pengukuhan tadbir urus dan manfaat rakyat.
“Yang paling penting, negara kita terus stabil, negeri kita terus maju dan ada cara untuk kita pastikan bahawa keputusan yang paling baik untuk rakyat dapat kita laksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching dalam ucapannya mengumumkan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan merangkap Timbalan Pengerusi DAP Johor Wong Shu Qi, dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRU16 dan PRN Johor.
Teo berkata Ahli Parlimen Kluang itu akan dibantu Setiausaha DAP Johor Andrew Chen Kah Eng, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali serta Ahli Jawatankuasa DAP Liow Cai Tung.
“Saya percaya bahawa di bawah pimpinan Wong Shu Qi, mereka ini akan merangka strategi dan bagaimana kami akan bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
-- BERNAMA




