SHAH ALAM, 9 MAC: Wanita di Selangor boleh mendapatkan khidmat nasihat guaman awal secara percuma menerusi inisatif anjuran Biro Guaman Wanita DAP Selangor.
Program yang dilancarkan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2026 bertujuan membantu golongan tersebut memperoleh panduan profesional apabila berdepan isu perundangan, selain memahami langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan kes masing-masing.
Pengerusi Wanita DAP Selangor, Yeo Bee Yin berkata masih ramai wanita tidak pasti saluran mendapatkan bantuan apabila berdepan isu seperti pertikaian perumahan, keganasan rumah tangga atau serangan seksual.
“Ramai yang tidak tahu langkah pertama untuk mendapatkan nasihat guaman. Program ini diharap dapat membantu mereka mendapatkan panduan tepat serta tindakan undang-undang bagi menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini.
Beliau berkata, panel terdiri daripada 10 peguam bertauliah ditubuhkan bagi membantu pemohon, khususnya membabitkan isu perkahwinan dan kekeluargaan, penjagaan anak serta urusan probet dan surat kuasa mentadbir harta pusaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng yang turut menganggotai panel itu berkata pemohon akan dihubungi dalam tempoh 24 jam selepas permohonan dibuat.
“Mereka boleh memohon secara dalam talian atau melalui pejabat mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri. Selepas permohonan diterima, peguam panel akan menghubungi pemohon mengikut keperluan kes serta pilihan bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil,” katanya.
Menurutnya, sekiranya kes memerlukan tindakan undang-undang lanjut selepas sesi nasihat awal, pemohon akan dirujuk kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Bantuan Guaman Selangor, Tabung Bantuan Guaman Selangor atau Pusat Bantuan Guaman Selangor.
Perkhidmatan itu terbuka kepada wanita yang menetap di Selangor dan tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Ketua Wanita DAP yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata wanita kini turut berdepan ancaman baharu di alam digital khususnya melalui penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, antara bentuk penyalahgunaan yang semakin meningkat ialah pornografi deepfake yang kebanyakannya menyasarkan wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Bagi aduan berkaitan gangguan seksual di dunia nyata, orang ramai juga boleh merujuk kepada Tribunal Anti Gangguan Seksual yang ditubuhkan pada Mac 2024,” katanya.
Menurutnya, tribunal itu lebih mudah diakses kerana mangsa boleh mewakili diri sendiri tanpa perlu melantik peguam dan kes juga perlu diselesaikan dalam tempoh 60 hari.








