KLANG, 2 NOV: Pusat borong terkenal GM Klang kini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, sekali gus membuka ruang baharu menjadikannya destinasi beli-belah malam utama di Selangor.
Pengarah Urusannya Dato’ Lim Seng Kok berkata langkah melanjutkan waktu operasi itu selaras dengan usaha menjadikan GM Klang sebagai antara tarikan pelancongan utama sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dengan pembangunan pesat di kawasan sekitar Bandar Botanik termasuk projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang bakal merancakkan kehadiran pengunjung, kami yakin inilah masa terbaik untuk mengorak langkah ke fasa baharu.
"Kami berhasrat menjadikan GM Klang sebagai Pusat Borong Sehenti dan Hab Perdagangan paling komprehensif di Asia Tenggara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Waktu Operasi Baharu GM Klang di sini, semalam.
Sempena pengumuman itu, GM Klang turut memperkenalkan promosi ‘Night Crazy Deals’ bermula jam 7 malam setiap hari serta cabutan bertuah bulanan dengan hadiah menarik termasuk motosikal, mesin basuh dan televisyen.
Langkah tersebut bukan sahaja dijangka meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, malah menyemarakkan kembali aktiviti ekonomi malam di Selangor seiring matlamat kerajaan negeri menjadikan sektor pelancongan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.
Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling.





