ad

Lelaki disyaki tetak abang ipar hingga putus kepala direman enam hari

1 Nov 2025, 12:40 PM
Lelaki disyaki tetak abang ipar hingga putus kepala direman enam hari

ALOR SETAR, 1 NOV: Lelaki yang disyaki menetak abang iparnya hingga maut dalam kejadian di Kampung Pida 3, Jerlun semalam, direman enam hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali bermula hari ini hingga 6 November, kata Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim.

Beliau berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan hasil ujian awal air kencing mendapatinya bebas daripada pengaruh dadah.

“Mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian malam tadi, mangsa ditemui maut dengan kepala terputus akibat ditetak adik ipar dalam pergaduhan di kawasan sawah kampung berkenaan.

Polis turut menemui beberapa kesan tetakan pada badan mangsa, manakala kepala dijumpai kira-kira satu meter dari badan.

Menurut Mohd Radzi, suspek ditahan selepas 15 minit dipujuk polis ketika masih memegang parang sepanjang 30 sentimeter di rumahnya yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut termasuk motif kejadian sedang dijalankan,” katanya.