ad

Isteri sebak pangku jasad suami maut ditetak adik disyaki halusinasi

1 Nov 2025, 8:40 AM
Isteri sebak pangku jasad suami maut ditetak adik disyaki halusinasi

SHAH ALAM, 1 NOV: Seorang wanita tidak dapat melupakan detik pilu apabila menemui suaminya maut dalam keadaan tragis dengan kepala terputus di kawasan sawah berhampiran rumah ibunya di Kampung Pida 3 dekat Jerlun, Kedah malam tadi.

Mangsa, Nasir Md Nanyan, 45, dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan adik iparnya sebelum ditemukan tidak bernyawa dengan kecederaan parah.

“Tak terbayang perasaan saya ketika itu apabila melihat jasad suami terlentang dalam sawah.

“Saya jerit minta tolong dan pangku jasadnya sambil mengurut dada arwah,” kata isteri mangsa, Marliana Awang, 39, seperti dilaporkan BH.

Marliana memaklumkan, sebelum kejadian arwah suaminya sempat berbual dengannya sekitar jam 6.50 petang mengenai beberapa ekor kambing mereka yang belum dibawa pulang.

“Tak lama selepas itu, arwah keluar cari kambing, tapi tidak balik-balik. Bila orang kampung maklum ada gaduh dekat sawah, hati saya terus rasa tak sedap,” katanya.

Katanya lagi, rumah mereka hanya dua unit dari rumah ibu mentuanya.

Isteri mangsa, Marliana Awang, 39. Foto Facebook

Sebaik dimaklumkan tentang kejadian, beliau segera bergegas ke lokasi menaiki motosikal dan tergamam apabila mendapati suaminya sudah tidak bernyawa.

“Saya terus turun dari motosikal, lari ke arah jasad arwah. Ketika itu tinggal 10 minit sebelum azan Maghrib. Saya urut dada dia, buang selut di badan dan doa supaya Allah permudahkan urusannya,” katanya sebak.

Marliana turut memaklumkan bahawa suspek yang juga adik ketiganya dipercayai mengalami halusinasi serta pernah menunjukkan tanda-tanda kemurungan sejak kebelakangan ini.

“Dia selalu bercakap seorang diri malah orang kampung pun tak kenal dia sangat. Kalau ada orang datang rumah, dia akan masuk bilik,” katanya sambil menambah adiknya tidak pernah membuat kacau sebelum ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan akibat ditetak adik iparnya, dengan kepala mangsa ditemui kira-kira satu meter dari tubuhnya.

Pihak polis mengesahkan terdapat beberapa kesan tetakan lain pada tubuh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar.