Anwar kecam keras serangan parang terhadap anggota polis di Kepong

11 Nov 2026, 11:51 PM
Anwar kecam keras serangan parang terhadap anggota polis di Kepong

SHAH ALAM, 12 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan seorang lelaki warga asing menyerang anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong, semalam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk jenayah dan keganasan, khususnya terhadap anggota penguat kuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat, sama sekali tidak boleh diterima.

"Saya mengecam keras insiden serangan oleh seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong dan mendoakan agar anggota terbabit segera diberikan kesembuhan.

"Sebarang bentuk jenayah dan keganasan, terutama terhadap anggota penguatkuasa yang menjalankan amanah melindungi keselamatan rakyat, sama sekali tidak boleh diterima," katanya menerusi Facebook.

Anwar turut menegaskan tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira latar belakang pelaku bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus terpelihara.

"Tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguatkuasa yang bertugas," katanya.

Semalam, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun putus pergelangan tangan kanan selain cedera di kepala dan badan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, Kepong.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata kejadian berlaku ketika anggota polis bersama pasukan bomba dan petugas kesihatan cuba mengawal seorang lelaki yang dilaporkan mengamuk.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan di sebuah taman permainan berhampiran kira-kira jam 8 malam.

Lelaki itu ditembak selepas dilaporkan menyerang anggota polis menggunakan parang ketika cubaan menahannya dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Anggota polis yang cedera pula dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan tangan kanannya yang terputus. Keadaannya dilaporkan stabil.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.