ad

Belanjawan Selangor 2026 turut fokus kesihatan mental, pendidikan alam sekitar

2 Nov 2025, 2:00 AM
Belanjawan Selangor 2026 turut fokus kesihatan mental, pendidikan alam sekitar
Belanjawan Selangor 2026 turut fokus kesihatan mental, pendidikan alam sekitar

SEPANG, 1 NOV: Kerajaan Negeri dijangka akan turut memberi tumpuan kepada isu kesihatan mental, pencegahan penyakit dan pendidikan alam sekitar dalam Belanjawan Selangor 2026.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaludin berkata, lonjakan kes melibatkan kesihatan mental seperti buli, penderaan dan bunuh diri, terutama dalam kalangan pelajar, memerlukan campur tangan serius serta tindakan awal di peringkat sekolah serta komuniti.

“Saya amat terkesan dengan kes bunuh di sekolah baru-baru ini yang berlaku di kawasan jagaan selaku Ahli Dewan Negeri Bandar Utama.

“Sebab itu saya telah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar untuk melaksanakan beberapa projek rintis mengikut kajian kes (bunuh pelajar sekolah) bagi memperbaiki sistem sokongan kesihatan mental,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Selangor 2025, di Paya Indah Wetland, Dengkil, pagi tadi.

Menurutnya, projek rintis tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan peranan komuniti seperti Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah sebagai barisan awal pengesanan dan sokongan.

Untuk rekod, setakat Jun lalu, Selangor mencatatkan jumlah jenayah juvana tertinggi sebanyak 892 kes.

Selain itu, Jamaliah memaklumkan Kerajaan Negeri juga akan melancarkan Projek Ambulans Selangor yang bakal diumumkan secara rasmi tidak lama lagi.

“Inisiatif itu bertujuan meningkatkan akses perkhidmatan kecemasan kesihatan di peringkat komuniti.

“Pendekatan kami adalah pencegahan. Kita tidak mahu hanya bertindak selepas pesakit memasuki klinik atau hospital, tetapi memastikan intervensi berlaku lebih awal,” tambahnya.

Bagi portfolio alam sekitar, Jamaliah memaklumkan tumpuan juga akan diberikan kepada kesedaran buat generasi muda melalui program di sekolah menengah yang dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar.

“Pelajar akan dijadikan duta dan agen perubahan untuk mendidik komuniti mengenai kepentingan menjaga alam sekitar bukan sahaja untuk masa depan, tetapi untuk generasi hari ini.

“Aspek pendidikan undang-undang alam sekitar turut diterapkan supaya masyarakat, khususnya remaja, tahu bagaimana melaporkan kecemasan seperti kebakaran atau pencemaran,” jelasnya.

Belanjawan Selangor 2026 dijadualkan akan dibentangkan pada 14 November ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.