ad

Fahami perang dagang, tragedi berdarah Gaza

1 Nov 2025, 6:00 AM
Fahami perang dagang, tragedi berdarah Gaza

1. Tangan-tangan Berdarah di Gaza

Gaza: An Inquest into Its Martyrdom (2018) karya Normal G Finkelstein

Selamatkah warga Gaza dan Tebing Barat? Walau gencatan senjata dibuat awal bulan ini tetapi ia sangat rapuh. Israel masih mengebom semenanjung tersebut.

Malah, pada 28 Oktober, negara itu melancar serangan lebih serius atas dakwaan Hamas melanggar gencatan. Lebih 60 orang terbunuh (setakat berita ini ditulis) walau Amerika Syarikat, sebagai pendamai, yakin tiada apa lagi yang boleh mengganggu gencatan kali ini.

Gencatan Oktober kali yang ketiga sejak perang meletus lebih parah genap dua tahun lepas. Gencatan awal tahun ini dilanggar sewenang-wenangnya melalui serangan yang bertali arus sehingga terjadi pembunuhan besar-besaran (genocide) dan kebuluran meluas.

Tiada tempat yang selamat di Gaza termasuk kem pelarian, rumah ibadat dan hospital. Setakat 21 Oktober, hampir 68,300 maut dan kira-kira 450 mati akibat tiada makanan.

Pembunuhan besar-besar ke atas lebih 2 juta penduduk di wilayah kecil itu (lebih kurang jarak dari Dataran Merdeka ke Pelabuhan Klang) membangkitkan kemarahan penduduk dunia.

Demonstrasi dianjurkan saban minggu sehingga makin banyak negara mula mengiktiraf negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

IPOH, 2 Okt -- Ribuan warga Perak berhimpun di pekarangan Keretapi Tanah Melayu Ipoh sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan Sumud Flotilla, malam ini. Perhimpunan yang bermula jam 9 menyaksikan peserta membawa bendera palestin dan rata-rata mereka memakai pakaian hitam bertujuan bagi menyatakan suara Malaysia yang terkesan dengan dugaan yang menimpa pelayar GSF awal pagi ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Warga Malaysia juga turut terlibat dalam armada kapal Global Sumud Flotilla sejurus sebelum gencatan pada 3 Oktober.

Mereka ditahan sebelum dikeluarkan dari negara haram itu. Kempen melalui laut ini menjana sokongan meluas warga dunia melalui siaran langsung dari atas kapal dan juga sistem penjejak dalam talian.

Menurut Reuters, pembina perisian tersebut Rectangle terkejut atas sambutan 2.5 juta dan 3.5 juta pengunjung dalam tempoh dua hari sebelum dipintas pasukan tentera Israel awal bulan ini.

Liputan berhubung sekatan ini membakar kemarahan ramai di banyak negara. Namun krisis panjang di Palestin, sejak 1948, tidak boleh difahami melalui berita seperti ini.

Kisah derita Gaza boleh difahami dengan kajian dan buku. Untuk itu, Kerajaan Selangor menterjemah buku penting Gaza: An Inquest into Its Martyrdom (2018) karya ahli akademik berwibawa Norman Finkelstein.

Diusaha oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Tangan-tangan Berdarah di Gaza memaparkan penindasan luar biasa di wilayah tersebut.

Penyelidik dan aktivis popular isu Palestin itu menyifatkan kejadian di Gaza selama ini (sebelum 7 Oktober 2023) "kemusnahan yang sengaja dicipta manusia" (human-made human disaster).

Beliau menulis karya ini untuk membongkar lapisan demi lapisan pembohongan yang disebar dalam media Barat dan naratif antarabangsa.

"[Selama ini] Gaza itu tentang Satu Pembohongan Besar yang berdiri daripada seribu pembohongan kecil — maka ia sering kelihatan rumit dan sukar difahami.

Tujuan buku ini ialah untuk menangkis Pembohongan Besar itu dengan mendedahkan setiap satu daripada pembohongan kecil tersebut," katanya.

Profesor hubungan antarabangsa terkenal John Mearsheimer menyifatkan penulis dan buku ini sangat bagus.

"Tiada sarjana yang telah memberikan lebih banyak pencerahan tentang layanan kejam Israel terhadap rakyat Palestin selain Norman Finkelstein.

"Dalam [buku ini] Gaza, beliau dengan teliti menghuraikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah kecil itu semasa Operasi Cast Lead dan Protective Edge, sambil mematahkan mitos yang dicipta oleh Israel dan para penyokongnya untuk menyembunyikan peristiwa-peristiwa yang mengejutkan ini."

Mengandungi 13 bab dalam empat bahagian, buku terbitan Universiti California ini menghuraikan panjang lebar pembantaian ke atas atas Gaza dalam dua operasi tentera Israel itu, seperti disebut Mearsheimer di atas. Ia pasti mendatangkan manfaat yang mendalam kepada pembaca yang mahu memahami Gaza dan mahu menyelami sengsara hampir 80 tahun.

Karya lain pengarang ini termasuklah: Gaza's Gravediggers: An Inquiry Into Corruption in High Places (2025), Old Wine, Broken Bottle: Ari Shavit's Promised Land (2014), Beyond Chutzpah (2005), The Holocaust Industry (2000), dan Image and Reality of the Israel–Palestine Conflict (1995).

2. Memahami Ekonomi: Panduan Termudah untuk Orang Awam

Economics: The User's Guide (2014) karya Ha-Joon Chang

Tidak ada lagi buku yang lebih menarik, lebih jelas dan lebih menghiburkan daripada buku ini, Memahami Ekonomi: Panduan Termudah untuk Orang Awam terbitan IBDE.

Karya profesor ekonomi ini, selama lebih 30 tahun bertugas di Universiti Cambridge, disampaikan dalam jalan cerita yang mudah bagi menghuraikan konsep-konsep penting.

Istilah utama pula diceritakan dengan contoh yang mudah termasuk mengaitkan kisah daripada novel.

Misalnya novel terkenal One Hundred Years of Solitude karya Gabriel Garcia Márquez digunakan untuk menghuraikan ungkapan "republik pisang" atau peranan syarikat transnasional dalam eksploitasi ekonomi penduduk peribumi di Amerika Tengah.

Ha-Joon Chang juga mengutip novel klasik Gone with the Wind karya Margaret Mitchell untuk menggambarkan perubahan ekonomi dan perang pada abad ke-19 dalam bab sejarah ekonomi, khasnya selepas teori penting Adam Smith dalam adikarya An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations.

Pendek kata, buku Memahami Ekonomi: Panduan Termudah untuk Orang Awam betul-betul mudah untuk dipelajari oleh pembaca yang tiada latar pengetahuan ekonomi.

Ada dua bab menarik tentang sejarah ini, perkembangan kapitalisme 1776 hingga 2014 dan juga sejarah ringkas kapitalisme sejak alaf pertama (bab 2 dan 3).

Idea, konsep dan istilah ekonomi diletakkan dalam evolusi sejarah bagi menjelaskan lagi kepentingannya.

Selain itu, Ha-Joon Chang juga menceritakan bagaimana mazhab pemikiran ekonomi berkembang dalam tempoh tersebut.

A large container vessel is docked at the West Port Terminal during a visit to Port Klang, on June 26, 2025. — Picture by BERNAMA

Dari idea ekonomi klasik Adam Smith (hujung abad ke-18 hingga lebih separuh abad ke-19) kemudiannya neoklasik (mulai dekad 1870-an), hujah Karl Marx (pertengahan abad ke-19) dan kini aliran analisa gelagat (behavioural economics).

Aliran terkini itu berhujah manusia tidak sepenuhnya rasional dalam membuat keputusan dan pilihan ekonomi. Dua pemenang Hadiah Nobel yang terkenal daripada aliran ini: Daniel Kahneman (2002) dan Richard Thaler (2017).

Sebelum itu sudah ada aliran John Maynard Keynes, Joseph Schumpeter, Carl Menger dan Friedrich von Hayek. Semuanya ini di bab 4. Jadi kita akan faham ada pelbagai cara memahami kegiatan ekonomi.

Ada lagi lapan bab menarik, antaranya isu pendapatan dan kegembiraan kita (bab 6), bagaimana bank berperanan (bab 8), masalah kemiskinan dan jurang kekayaan (bab 9), kerja dan pengangguran (bab 10), apa itu negara dan peranannya dalam ekonomi (bab 11) dan akhirnya bagaimana perdagangan antarabangsa bergerak.

Bagi kita yang tidak cukup faham masalah perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China atau perdebatan isu tarif saat ini, bab 12 dapat merungkai semua kekeliruan dan pertanyaan kita.

Buku tajaan Kerajaan Selangor ini memang seronok dibaca dan mengasyikkan sebab diolah untuk orang ramai, bukan ditulis seperti buku teks ekonomi untuk mahasiswa.