SHAH ALAM, 21 APRIL: Sekumpulan aktivis antarabangsa dilaporkan melancarkan tindakan di Laut Mediterranean bagi mengganggu kapal kargo yang didakwa membawa bekalan berkaitan konflik di Gaza.
Menurut kenyataan Global Sumud Flotilla (GSF), sebanyak 19 bot telah digerakkan dalam satu operasi yang disifatkan sebagai tindakan langsung bagi menghalang aliran senjata ke Israel.
GSF berkata tindakan itu dibuat berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva, Konvensyen Genosid dan Perjanjian Perdagangan Senjata.
"Negara-negara diwajibkan menghentikan pemindahan senjata kepada Israel, sebuah entiti penjajah yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pendudukan haram ke atas wilayah Palestin sejak tahun 1967.
“Kami tidak akan berdiam diri ketika undang-undang antarabangsa diabaikan. Kami juga tidak akan belayar melewati kapal-kapal yang membawa senjata dan bekalan kepada pihak yang melakukan jenayah perang tanpa melakukan segala yang termampu untuk mengganggu rantaian bekalan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Dalam hantaran terdahulu, kumpulan berkenaan turut mendakwa menyaksikan kawalan ketat di Laut Mediterranean oleh Israel, termasuk sekatan terhadap aktivis kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza.
“Ketika kami belayar untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza, kami menyaksikan bagaimana rejim penjajah mengawal Laut Mediterranean secara ganas… sementara kapal yang membawa senjata dan bahan api bergerak bebas,” menurut GSF.
Mereka turut menuntut laluan laut ke Gaza dibuka secara bebas dan selamat serta menggesa penyahjajahan Laut Mediterranean.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa antarabangsa berhubung operasi tersebut atau kesannya terhadap laluan perkapalan di kawasan berkenaan.








