SHAH ALAM, 31 OKT: Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menggesa Bukit Aman melantik pegawai penyiasat (IO) baharu meneruskan siasatan kes kematian anaknya.
Zaim Ikhwan Zahari, 30, mendakwa dia dan keluarganya sudah hilang kepercayaan terhadap penyiasatan sedia ada dalam kes kematian anaknya.
Menurutnya, keputusan mahkamah hari ini mengecewakannya, dan dia mahu pihak polis meneruskan usaha mencari pembunuh sebenar yang masih bebas.
“Saya kecewa dengan keputusan hari ini. Semoga mereka yang menzalimi keluarga saya akan mendapat balasan Tuhan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Zaim berkata demikian selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap isterinya, Ismanira Abdul Manaf, atas kesalahan mengabaikan anak autisme mereka dua tahun lalu.
Katanya, walaupun sukar menerima keputusan itu, dia tetap reda dan cuba tabah sebagaimana ketika berdepan pemergian anaknya pada Disember 2023.
Terdahulu, suasana mahkamah tegang apabila Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.




