SHAH ALAM, 30 JULAI: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Ogos depan bagi mendengar rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya.
Kosmo melaporkan, pada tarikh sama, mahkamah turut akan mendengar rayuan silang pihak pendakwaan berhubung hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan terhadap wanita berusia 31 tahun itu.
Keputusan itu dibuat Hakim Noor Hisham Ismail selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk memfailkan hujahan balas terhadap hujahan lanjut yang dikemukakan pihak pembelaan.
Semasa prosiding, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pendengaran rayuan tersebut.
Petisyen rayuan difailkan pihak pembelaan pada Januari lalu menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan, selain tertuduh dikehendaki menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM3,000.
Ismanira juga diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara, manakala permohonan penangguhan hukuman ditolak.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun itu.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.






