Kes Zayn Rayyan: Mahkamah tetapkan 23 Disember untuk keputusan tangguh hukuman Ismanira

10 Dis 2025, 8:38 AM
Kes Zayn Rayyan: Mahkamah tetapkan 23 Disember untuk keputusan tangguh hukuman Ismanira

SHAH ALAM, 10 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Dis ini untuk menyampaikan keputusan permohonan ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin bagi menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, yang menyatakan tiada keperluan istimewa atau khas bagi membolehkan mahkamah memberikan penangguhan hukuman tersebut.

Raja Zaizul Faridah berkata pihak pembela, Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak menunjukkan bukti bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terkhilaf ketika menolak permohonan perayu untuk menangguhkan hukuman.

Katanya, alasan perayu bahawa dia mempunyai anak yang masih kecil dan menghidap autisme juga tidak termasuk dalam kategori keadaan khas yang membolehkan penangguhan.

“Selain itu, Ismanira juga menggunakan alasan bahawa dia telah memberi kerjasama dengan hadir dalam prosiding di mahkamah, sebaliknya itu merupakan tanggungjawabnya selaku tertuduh untuk hadir,” katanya.

Terdahulu, Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira berhujah bahawa permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara wajar dipertimbangkan berikutan wujud keadaan istimewa membabitkan anaknya yang autistik.

Katanya, anak kedua wanita itu, yang berusia enam tahun, kini berada di bawah jagaan suaminya dan memerlukan perhatian serta sokongan emosi berterusan daripada seorang ibu.

Pada 19 Nov lepas, Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan Zayn Rayyan, 6.

Pada 31 Okt lalu, Ismanira dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara bermula 31 Okt, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.

‎Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.