SHAH ALAM, 31 OKT: Suasana di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya bertukar kecoh apabila bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menjerit ke arah pegawai penyiasat selepas isterinya dijatuhi hukuman penjara lima tahun hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Zaim Ikhwan Zahari, 30, melaungkan kata-kata “Semoga kamu dilaknat!” sebaik mahkamah memerintahkan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Wanita Kajang atas kesalahan mengabaikan anak autisme mereka dua tahun lalu.
Tindakan itu mencetuskan suasana tegang di mahkamah, memaksa beberapa ahli keluarga menenangkan Zaim Ikhwan sebelum membawanya keluar dari kamar untuk mengelak kekecohan berlanjutan.
Keadaan semakin memuncak apabila ibu kepada Zaim Ikhwan turut meluahkan kemarahan terhadap pegawai polis yang terlibat dalam siasatan kes.
“Puaslah kau, botak!” jeritnya dengan nada marah sebelum meninggalkan kawasan mahkamah.
Terdahulu, Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, dengan alasan tiada faktor istimewa yang membolehkan penangguhan diberikan.
Mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan di anak sungai, 100 meter dari kediaman keluarganya oleh penduduk pada 6 Disember 2023.
Lokasi anak sungai tempat mayat kanak-kanak itu ditemui adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) sebanyak tiga kali.
Pada mulanya, penemuan mayat Zayn Rayyan diklasifikasikan polis sebagai kematian mengejut (SDR).





