SHAH ALAM, 30 OKT: Seorang bekas Pembantu Penguat Kuasa Veterinar Negeri Terengganu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM350,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas didapati bersalah atas kesalahan meminta dan menerima rasuah.
Mengikut fakta kes, tertuduh Abol As Mohd Jamil, 45, didakwa pada 4 Januari 2023 dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, lapor Buletin TV3.
Dia didapati meminta dan menerima wang tunai berjumlah RM35,000 bagi dirinya sendiri sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara, iaitu menurunkan seksyen pertuduhan kepada hukuman lebih ringan bagi kes Mohd Nazir Mohd Dagang, yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas kesalahan di bawah Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Kesalahan itu dilakukan pada 27 Julai 2022 dan 3 Ogos 2022.
Pada 2 Mac 2025, bagi keputusan di akhir pendakwaan, setelah meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi semua elemen pertuduhan pertama dan kedua.
Bagaimanapun, tertuduh diarah membela diri terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Dalam prosiding akhir pembelaan hari ini, Hakim Mohd Azhar Othman mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, manakala tertuduh gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM 2009.
Mahkamah seterusnya mensabitkan tertuduh bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM175,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dihukum penjara 12 bulan dan denda RM175,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Rezal Mazli Abdul Muin.




