SHAH ALAM, 15 APRIL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam agensi penguatkuasaan di Sabah selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.
Suapan itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori milik syarikat yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Berita Harian.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 22 April 202 terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi.
Sumber berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an ditahan antara jam 4 dan 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Tawau.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 dan menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing.
"Ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua pegawai dan seorang anggota penguat kuasa turut dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan kira-kira RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa syarikat kenderaan berat," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.







