KUALA TERENGGANU, 18 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes rasuah melibatkan gelanggang skuasy bernilai RM7 juta di Kuala Lumpur.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya juga sentiasa terbuka dan bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan kes itu.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes yang berlaku, khususnya dalam kementerian ini.
“Kami berpegang kepada prinsip tatakelola yang baik, sebab itu di peringkat kementerian juga kami inginkan kementerian ini (KBS) bersih dan kami akan memberikan kerjasama yang baik. Namun saya tidak boleh membuat sebarang ‘penghakiman’. Biarlah pihak berkuasa yang meneliti perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Fiesta Rakan Muda X Play True Day Peringkat Terengganu 2026 dan Kompleks Sukan Air Terengganu di Kompleks Sukan Air Terengganu di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang ketua pegawai eksekutif sebuah badan berkanun dilaporkan direman lima hari kerana disyaki terlibat rasuah kira-kira RM1 juta bagi kontrak pembinaan gelanggang skuasy.
Menurut sumber, bayaran itu dipercayai sebagai balasan membantu meluluskan tuntutan kontraktor berkaitan pembinaan gelanggang skuasy bernilai RM7 juta di ibu negara.
Dalam perkembangan lain, Dr Mohammed Taufiq berkata keputusan untuk tidak menyediakan perkampungan sukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dibuat oleh tuan rumah dengan persetujuan wakil dari setiap negeri pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA sebelum ini.
“Saya memberikan ruang dan peluang kepada semua exco ketika itu untuk memberikan pandangan dan kata putus telah dicapai. Maknanya semua negeri bersetuju. Jadi, saya hanya menyampaikan keputusan mesyuarat.
“Jadi, ia bukan keputusan KBS. Ia keputusan yang dicapai bersama dan idea ini dilontarkan oleh tuan rumah sendiri. Kami (KBS) hanya menyelaras,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq ketika ditanya mengenai permintaan sesetengah pihak untuk mengkaji semula kadar subsidi sebanyak RM100 sehari kepada atlet bagi menggantikan ketiadaan perkampungan sukan pada edisi kali ini berkata pihaknya akan meneliti dan berbincang dengan pihak tuan rumah, iaitu Selangor bagi menentukan langkah-langkah yang terbaik.








