ad

Tikam adik kakak ipar, penganggur dihukum penjara tujuh tahun

30 Okt 2025, 9:38 AM
Tikam adik kakak ipar, penganggur dihukum penjara tujuh tahun

SHAH ALAM, 30 OKT: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan cubaan membunuh dengan menikam seorang gadis yang juga adik ipar kakaknya dalam kejadian minggu lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hidayat Burhan, 25, selepas menerima pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

"Selepas menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujahan pemberatan hukuman oleh pihak pendakwaan, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan," katanya ketika prosiding di Mahkamah Sesyen 3, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hidayat didakwa menikam Alyaa' Khairunnisa Abd Razak, 18, menggunakan sebilah pisau, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tangga Batu, berhadapan Taman Tangga Batu Seksyen, kira-kira jam 4.05 petang pada 20 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika menyebabkan kecederaan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, Balai Polis Tanjung Keling menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang gadis cedera ditikam lelaki tidak dikenali ketika membonceng motosikal untuk pulang ke rumah dari sebuah kilang sarung tangan.

Siasatan mendapati ketika dalam perjalanan, mangsa mengadu sakit di bahagian belakang badan.

Setelah pengadu memberhentikan motosikal, dia mendapati mangsa mengalami luka tikaman di belakang pinggang dan pendarahan yang banyak.

Dalam masa sama, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berpakaian gelap dilihat memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek pada jam 10.30 malam hari sama di sebuah rumah berdekatan tempat kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, mengambil kira keseriusan kesalahan dan kecederaan dialami mangsa.

Namun, tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibu bapa serta adik-beradik selain sedang mencari pekerjaan.

Ketika disoal hakim, tertuduh mengaku mengenali mangsa dan menyimpan perasaan terhadapnya sejak pertama kali bertemu di rumah kakaknya.

"Saya kenal masa datang rumah kakak untuk tengok anak saudara, dan ternampak dia (mangsa). Masa itu saya rasa nak mengorat," katanya ketika prosiding.