Bekas pelajar politeknik bebas tuduhan edar 3.4 kilogram ganja

15 Mei 2026, 6:45 AM
Bekas pelajar politeknik bebas tuduhan edar 3.4 kilogram ganja

SHAH ALAM, 15 MEI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan seorang bekas pelajar politeknik atas tuduhan mengedar ganja seberat 3.4 kilogram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan Harith Izzuddin Mohd Hanizam, 23, di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Harith Izzuddin didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis, dengan anggaran berat 3.4 kilogram di kawasan sebuah lobi hotel di Jalan Kuching, dalam daerah Sentul pada 26 Februari 2024.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39(b)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(b)(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam keputusannya, Azhar berkata, mahkamah mendapati terdapat kebergantungan pihak pendakwaan dalam keterangan saksi pendakwaan keempat iaitu pengadu untuk membuktikan elemen pemilikan.

Beliau berkata, keterangan saksi itu yang juga anggota polis penuh syak wasangka kerana saksi itu tidak bercakap benar mengenai apa yang berlaku selepas tertuduh dan barang-barang kes dadah dibawa balik selepas tangkapan ke balai polis.

Menurut hakim, pengadu mendakwa dia sentiasa berada di balai polis melakukan soal siasat terhadap tertuduh namun keterangan pegawai penyiasat dalam laporan polis yang dikemukakan pembelaan, telah membuktikan sebaliknya .

"Saya memutuskan saksi pendakwaan keempat bukan seorang saksi yang boleh dipercayai, oleh itu pendakwaan gagal membuktikan elemen milikan.

"Tanpa pembuktian elemen ini, andaian pengedaran (kanabis) adalah tidak terpakai dan dalam kes ini tidak terdapat keterangan langsung yang dikemukakan utuk menimbulkan elemen pengedaran telah berlaku .

"Oleh yang demikian saya memutuskan pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh, dengan ini tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini," katanya.

Dalam kes itu, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada Rabu lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Harith Izzuddin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.