ad

Tiga bakat muda Selangor terima bantuan Yayasan MBI sertai kejohanan antarabangsa

30 Okt 2025, 7:38 AM
Tiga bakat muda Selangor terima bantuan Yayasan MBI sertai kejohanan antarabangsa
Tiga bakat muda Selangor terima bantuan Yayasan MBI sertai kejohanan antarabangsa
Tiga bakat muda Selangor terima bantuan Yayasan MBI sertai kejohanan antarabangsa

SHAH ALAM, 30 OKT: Tiga bakat muda dari Selangor terus mengharumkan nama negeri selepas menerima bantuan kewangan daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menyertai pertandingan dan latihan di peringkat antarabangsa.

Arissa Elena Mohd Nuraizat, yang terlibat dalam bidang robotik dan pengaturcaraan sejak usia lapan tahun, menerima sumbangan RM2,000 bagi menyertai pertandingan World Robotic Olympiad di Korea Selatan.

Ibunya, Haleena Musa meluahkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Yayasan MBI atas bantuan yang diberikan.

Arissa Elena Mohd Nurizat. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Dana ini akan digunakan untuk menampung kos persediaan dan latihan menjelang pertandingan di peringkat global yang dijadual berlangsung di China tahun depan," katanya ketika ditemui Media Selangor, hari ini.

Haleena berkata minat Arissa Elena disemai sejak kecil dan didorong latar belakang keluarga yang aktif dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Sementara itu, atlet cilik Ash Elyssa Rus Mohamad Redzuan, 4 tahun, menerima RM3,000 bagi membiayai kos penyertaan ke pertandingan pushbike di luar negara.

Bapanya, Mohamad Redzuan Damanhuri, berkata bantuan daripada Yayasan MBI amat bermakna kerana mampu menampung kos penerbangan dan penginapan sepanjang kejohanan di Thailand dan Indonesia.

Mohamad Redzuan Damanhuri dan anaknya Ash Elyssa Rus Mohamad Redzuan, 4. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Kami sangat gembira dan bersyukur. Bantuan ini banyak membantu urusan persiapan untuk ke pertandingan luar negara, terutama kos penerbangan," katanya.

Ash Elyssa mula menunjukkan minat sejak usia dua tahun, kini kanak-kanak itu sudah menjuarai kategori 4 tahun dalam siri Lead Tour di Langkawi. Ash Elyssa giat menjalani latihan untuk ke peringkat antarabangsa.

Bagi, Muhammad Khairani Sulaiman, bapa kepada Khai Rizq Mikael yang menyertai kem akademi bola ke Cerezo Osaka melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang bernilai RM3,000.

Muhammad Khairani Sulaiman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR 

"Alhamdulillah, sumbangan ini sangat membantu, terutama untuk bayaran yuran dan latihan anak saya. Dia memang minat bola sepak sejak umur lima tahun dan jika terpilih dia akan terus berlatih di Jepun," katanya.

Khairani berkata, bantuan yang diterima dapat membantu kos latihan dan pengangkutan anaknya sepanjang program latihan.