SHAH ALAM, 30 OKT: Seramai 11 individu terdiri daripada pelajar, pesakit dan atlet muda menerima bantuan berjumlah RM19,000 daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi program agihan sumbangan siri keempat tahun ini.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu meliputi sokongan pendidikan, kos rawatan hospital dan insentif kepada atlet muda yang menunjukkan potensi cemerlang dalam bidang masing-masing.

“Walaupun jumlah sumbangan tidak besar, kami berharap ia dapat meringankan beban dan memberi semangat baharu kepada penerima untuk meneruskan perjuangan mereka,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, setiap permohonan bantuan diteliti berdasarkan keperluan sebenar pemohon, termasuk pendapatan isi rumah bawah RM4,000 sebulan, selain pertimbangan khas untuk kes kronik, tanggungan ramai atau kecemasan keluarga.
“Kebanyakan penerima daripada golongan berpendapatan rendah dan asnaf, namun Yayasan MBI turut mempertimbangkan kes tertentu atas dasar kemanusiaan,” jelasnya.
Ahmad Azri menambah, Yayasan MBI komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pelbagai bentuk bantuan kebajikan termasuk pendidikan, bencana, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Selaras dengan hasrat Dato’ Menteri Besar, tiada rakyat Selangor akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negeri. Yayasan MBI menjadi jambatan untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai semua lapisan rakyat,” katanya.






