SHAH ALAM, 30 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menyerah watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie negeri kepada Nenney Shuhaidah Shamsuddin berkuat kuasa 1 November ini.
Berlangsung di Istana Kayangan hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyerahkan watikah pelantikan setiausaha Majlis Agama Islam Selangor kepada Mohd Sabirin Sarbini berkuatkuasa 16 Julai selain beliau turut dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor.
Baginda juga menyerah pelantikan anggota panel tetap hakim rayuan syariah negeri kepada Datuk Mohd Raszi Abdul Latif selain Salwani Khalid sebagai ketua pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor serta lantikan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah negeri kepada Norhazli Rahim.
Turut menerima watikah empat Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor iaitu Muhammad Amir Firdaus Sidin, Mohd Amir Yahaya, Norul Aina Bahari serta Ahmad Faizul Ashar.
Dalam istiadat sama Baginda turut menyerah lantikan kepada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Mohamed Izam Mohamed Yusof.
Sementara itu enam pegawai Jabatan Agama Islam Selangor turut menerima watikah pelantikan iaitu penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah (empat), ketua daftar nikah, cerai dan rujuk (satu) serta pendaftar kanan nikah, cerai dan rujuk (satu).
Semua pelantikan selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2023.
Turut hadir pada istiadat itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah.








