KUALA LUMPUR, 30 OKT: Keputusan sama ada ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30, disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anaknya dua tahun lalu akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Hakim Dr Syahliza Warnoh dijadual menyampaikan keputusan pada jam 9 pagi selepas meneliti keseluruhan hujahan dan keterangan saksi sepanjang perbicaraan.
Berikut perkembangan sebelum ini:
Pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 18 September, manakala pendakwaan mengemukakan hujahan balas pada 1 Oktober
Pembelaan menegaskan bahawa keterangan Ismanira bukan penafian kosong, sebaliknya konsisten dan tidak bersifat ‘after thought’ (terkemudian)
Pendakwaan pula berhujah bahawa ketika Allahyarham berada di bawah jagaan tertuduh, kanak-kanak itu terdedah kepada risiko kecederaan fizikal
Pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Fakta kes:
Ismanira didakwa mengabaikan anaknya Zayn Rayyan, ketika itu berusia enam tahun, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan, antara 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan
Barisan pendakwaan dan pembelaan:
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi
Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh
Kronologi ringkas tragedi:
6 Disember 2023: Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya di Damansara Damai
Kanak-kanak autisme itu sebelum itu dilaporkan hilang oleh keluarga pada 5 Disember







