Permohonan ibu Zayn Rayyan untuk tangguh hukuman penjara ditolak Mahkamah Tinggi

23 Dis 2025, 4:42 AM
Permohonan ibu Zayn Rayyan untuk tangguh hukuman penjara ditolak Mahkamah Tinggi
Permohonan ibu Zayn Rayyan untuk tangguh hukuman penjara ditolak Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM, 23 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya yang juga autistik.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen dan hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan.

"Selepas meneliti afidavit pemohon dan responden, juga hujahan bertulis kedua-dua pihak termasuk mendengar hujahan lisan, mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan untuk penangguhan hukuman ditolak.

"Mahkamah mendapati tiada keadaan khas untuk membenarkannya (penangguhan hukuman)," katanya.

Ismanira, 30, sebelum ini dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman mewakili pihak pendakwaan.

Pada 19 November, Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman yang sedang dijalani di Penjara Wanita Kajang.

Mahkamah turut memerintahkan beliau menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM3,000 serta menjalani 120 jam khidmat masyarakat selepas tamat hukuman.

Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment berkenaan antara 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.