ad

Selangor sedia nilai semula had bantuan, pastikan M40 tidak tercicir – EXCO

30 Okt 2025, 2:59 AM
Selangor sedia nilai semula had bantuan, pastikan M40 tidak tercicir – EXCO
Selangor sedia nilai semula had bantuan, pastikan M40 tidak tercicir – EXCO
Selangor sedia nilai semula had bantuan, pastikan M40 tidak tercicir – EXCO
Selangor sedia nilai semula had bantuan, pastikan M40 tidak tercicir – EXCO

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Selangor bersedia menilai semula had kelayakan beberapa program bantuan bagi memastikan kumpulan berpendapatan sederhana (M40) turut berpeluang menikmati manfaat daripada dasar kebajikan negeri.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata semakan semula itu penting bagi menjadikan dasar bantuan Selangor lebih inklusif dan menepati realiti semasa, memandangkan garis kelayakan sedia ada dianggap terlalu rendah untuk menampung keperluan golongan di sempadan antara B40 dan M40.

“Kerajaan Negeri sentiasa berhasrat membantu semua lapisan masyarakat, namun had kelayakan (capping) bagi sesetengah program bantuan perlu dinilai semula.

“Banyak skim masih mengekalkan had tertentu untuk B40, jadi kita sedang meneliti semula agar tiada golongan M40, terutama yang berpendapatan sederhana rendah, tercicir daripada menerima manfaat,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Papparaidu menjelaskan, permohonan daripada kumpulan M40 tidak ditolak mentah-mentah hanya kerana status pendapatan semata-mata, sebaliknya dinilai secara menyeluruh.

“Kita akan menilai setiap permohonan secara case by case dengan mengambil kira beban tanggungan sebenar seperti bilangan anak, keperluan menjaga ibu bapa serta status pasangan yang tidak bekerja.

“Pendekatan ini memastikan isi rumah M40 yang berada di garis ‘borderline’ tidak terpinggir daripada menerima bantuan,” ujarnya.

Beliau berkata, beberapa skim di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) juga sudah terbuka kepada kumpulan M40, termasuk bantuan kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

Setakat ini, Selangor melaksanakan 46 inisiatif kebajikan menerusi ISP dengan peruntukan melebihi RM600 juta setahun, dan semua skim tersebut akan terus diperkasa serta ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan manfaatnya sampai kepada semua lapisan rakyat.