ad

Bahaya Roblox: Selangor bincang langkah tangani permainan video ganas

29 Okt 2025, 12:09 PM
Bahaya Roblox: Selangor bincang langkah tangani permainan video ganas
Bahaya Roblox: Selangor bincang langkah tangani permainan video ganas
Bahaya Roblox: Selangor bincang langkah tangani permainan video ganas

SHAH ALAM, 29 OKT: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan persatuan e-sukan berhubung isu permainan video dalam talian yang mengandungi unsur keganasan termasuk Roblox, kata EXCO Sukan.

Mohd Najwan Halimi berkata, sudah tiba masanya permainan dalam talian diberi perhatian serius supaya masyarakat menyedari bahaya elemen keganasan dalam sukan elektronik, khususnya kepada kanak-kanak.

"Selangor memandang serius kejadian menimpa kanak-kanak lelaki enam tahun yang dikelar akibat pengaruh permainan dalam talian seperti Roblox.

“Oleh itu, kita akan berbincang dengan persatuan e-sukan bagi meneliti bentuk bantuan atau langkah sewajarnya agar masyarakat sedar bahaya sukan menjurus kepada keganasan," katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut mencadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Kementerian Digital menyemak semula kandungan dan perisian permainan berunsur ganas yang mudah dimuat turun ke dalam telefon pintar.

Pada masa sama, Mohd Najwan menyeru ibu bapa agar lebih tegas dan peka terhadap aktiviti anak-anak di dunia maya.

“Jika dilihat, majoriti telefon bimbit kanak-kanak ada permainan Roblox, jadi ibu bapa perlu ambil tindakan drastik supaya anak-anak tidak terus bermainnya.

“Setiap tindakan bermula di rumah, jadi ibu bapa perlu memainkan peranan memeriksa kandungan telefon anak dan memantau kekerapan mereka bermain," katanya.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah dikelar di leher dan ditikam di badan dalam kejadian di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, Batu Pahat.

Polis Johor tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada pengaruh permainan dalam talian popular, Roblox.

Susulan kejadian tersebut, ibu bapa kepada kanak-kanak itu, masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an, ditahan bagi membantu siasatan.