Had masa skrin kanak-kanak mungkin ditetapkan secara automatik

29 Okt 2026, 10:00 AM
Had masa skrin kanak-kanak mungkin ditetapkan secara automatik

SHAH ALAM, 29 OKT: Penggunaan platform digital dalam kalangan kanak-kanak mungkin dihadkan secara automatik, termasuk mewajibkan mereka berehat selepas tempoh tertentu bagi mengelakkan penggunaan skrin secara berlebihan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Kerajaan sedang berbincang dengan penyedia platform dalam talian mengenai pelaksanaan ciri berkenaan secara lalai tanpa memerlukan ibu bapa mengaktifkannya sendiri.

Menurutnya, perbincangan itu turut melibatkan rakan sejawatnya dari beberapa negara ASEAN bagi mencari pendekatan bersesuaian untuk melindungi pengguna bawah umur.

"Sebagai contoh, kanak-kanak yang menonton YouTube Shorts boleh dihadkan kepada sejam, lepas itu, mereka perlu berehat seketika.

"Kita harap semua platform yang mempunyai 'autoplay' boleh meletakkan had masa penggunaan supaya anak-anak boleh berehat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi menjelaskan had masa berkenaan boleh ditetapkan mengikut keperluan pengguna, namun tidak memperincikan tarikh pelaksanaan atau sama ada persetujuan sudah dicapai dengan penyedia platform.

Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan RM58.7 juta bagi Kempen Internet Selamat menerusi Belanjawan 2027 turut digunakan untuk melaksanakan program pendidikan kepada ibu bapa, penjaga dan guru mengenai perlindungan kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Menurutnya, masih terdapat ibu bapa yang tidak menyedari kewujudan ciri kawalan ibu bapa pada peranti masing-masing bagi mengehadkan tempoh penggunaan skrin anak-anak.

Mengulas keselamatan permainan dalam talian termasuk Roblox, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang mengkaji perkembangan risiko serta langkah perlindungan yang bersesuaian.

Katanya, SKMM turut meneliti pendekatan dan amalan antarabangsa bagi mengenal pasti kaedah keselamatan yang berkesan.

"Pada masa sama, CMCF melaksanakan rundingan awam bagi membangunkan subkod permainan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.