Modus operandi militan berubah, rekrut ahli guna permainan dalam talian

23 Jul 2026, 2:28 PM
Modus operandi militan berubah, rekrut ahli guna permainan dalam talian

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Ancaman kumpulan militan dan ekstremis tidak akan berakhir, sebaliknya akan terus berevolusi mengikut peredaran masa dengan menggunakan pendekatan serta teknik baharu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata kaedah merekrut ahli juga telah berubah daripada pertemuan secara fizikal kepada platform dalam talian termasuk menerusi permainan video seperti Roblox.

“Ancaman kumpulan-kumpulan militan, ekstremis ini tidak akan berakhir, (begitu juga) ajaran sesat. Sekarang trend sudah lain.

“Kalau dulu cara merekrut akan pergi usrah secara fizikal, sekarang semua dalam talian,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku biografi beliau “Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti” di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk M. Kumar, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Rusdi Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Ayob Khan berkata ideologi kumpulan ekstremis kini tidak lagi terhad kepada faktor agama, sebaliknya turut didorong oleh faktor emosi dan sentimen kebencian yang meluap-luap.

“Ada kes yang berpunca daripada perasaan marah sehingga mendorong seseorang melakukan serangan. Itu yang kita dapati dalam tangkapan baru-baru ini membabitkan beberapa remaja belasan tahun.

“Modus operandi mereka sudah berubah. Sebab itu polis perlu sentiasa berada selangkah di hadapan untuk menangani isu ini. Kalau kita pasif dan tidak proaktif, akan berlaku serangan di Malaysia dan itu adalah kegagalan risikan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan Bahagian E8 Cawangan Khas serta jabatan berkaitan agar tidak leka dalam mengesan, menyekat dan membanteras sebarang elemen ancaman sebelum sebarang serangan dilancarkan.

-- BERNAMA

TAG: Ayob Khan, militan, ancaman, siasatan, Roblox

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.