SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak lima sitaan melibatkan peralatan perniagaan penjaja tanpa lesen dilakukan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam operasi di kawasan larangan menjaja Bukit Ampang.
MPAJ berkata tindakan itu hasil pemantauan berterusan serta aduan awam mengenai aktiviti penjajaan yang mengganggu aliran trafik dan kebersihan kawasan tumpuan pelancong.
“Operasi dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan selepas mendapati peniaga terbabit menjalankan perniagaan tanpa kebenaran sah,” maklum pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.
Menurut MPAJ, penguatkuasaan berterusan dilaksana bagi memastikan pematuhan undang-undang selain menjamin keselamatan, kebersihan dan keselesaan pengunjung.
PBT itu turut menasihatkan peniaga supaya mematuhi syarat lesen dan tidak berniaga di kawasan larangan.
“Setiap tindakan diambil demi kesejahteraan komuniti serta mewujudkan persekitaran bandar yang teratur dan berdaya huni,” katanya.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui SISPAA MPAJ atau talian bebas tol 1-800-22-8100.









