SHAH ALAM, 4 APRIL: Jabatan Penguatkuasaan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan tujuh sitaan ke atas barangan daripada 10 premis yang diperiksa dalam operasi kelmarin.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah menjalankan perniagaan tanpa lesen, halangan awam serta tidak mematuhi syarat lesen perniagaan ditetapkan.
"Operasi penguatkuasaan halangan dan langgar syarat lesen dijalankan di Taman Muda, Pandan Indah, Taman Melawati dan Taman Putra Sulaiman.
"Tujuh sitaan dilaksanakan dan tindakan ini diambil bagi memastikan persekitaran perniagaan yang teratur, selamat dan mematuhi undang-undang," kata MPAJ dalam kenyataan menerusi Facebook.
Dalam operasi lain, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ mengambil tindakan ke atas penjaja buah dan runcit di Pasar Pagi Taman Muda yang tidak mengikut peraturan.
"Pemeriksaan mendapati ada penjaja berlesen meletakkan halangan di tempat awam serta menjalankan aktiviti perniagaan di luar garisan tapak dibenarkan.
"MPAJ ingin mengingatkan bahawa pematuhan terhadap syarat lesen adalah wajib termasuk tidak menghalang laluan awam dan menjalankan perniagaan dalam kawasan ditetapkan," kata kenyataan itu lagi.
Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan melalui SISPAA MPAJ di https://mpaj.spab.gov.my atau talian 1-800-22-8100.








