Mesyuarat Majlis Tanah Negara tumpu tadbir urus, kadar royalti mineral, cukai tanah

5 Okt 2026, 12:15 PM
Mesyuarat Majlis Tanah Negara tumpu tadbir urus, kadar royalti mineral, cukai tanah

PUTRAJAYA, 5 OKT: Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-83 hari ini menumpukan kepada beberapa perkara strategik berkaitan dasar tanah dan mineral negara serta penyelarasan pentadbiran tanah antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi platform strategik memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi memastikan dasar dan pengurusan tanah negara dilaksanakan secara terancang, bersepadu dan mampan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara perkara utama dibincangkan ialah keputusan dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara keempat termasuk kajian penyelarasan kadar royalti mineral dan bahan batuan serta pembangunan Dasar Mineral Kritikal Negara.

“Cadangan itu mengambil kira kepentingan mineral sebagai antara sumber strategik negara yang perlu diurus secara terancang, bertanggungjawab dan mampan, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi baharu, peralihan tenaga serta peningkatan permintaan terhadap mineral kritikal.

“MTN ke-83 turut memberi perhatian kepada cadangan semakan kadar cukai tanah bagi Kedah dan Perlis yang dibentangkan semula kepada MTN untuk pertimbangan, selaras dengan peruntukan undang-undang dan tatacara yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan MTN turut menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri supaya dasar dan keputusan berkaitan tanah dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, konsisten dan berkesan, selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kementerian itu memaklumkan kerajaan yakin kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri membolehkan pengurusan tanah negara terus diperkasakan bagi menyokong agenda pembangunan negara yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Sehubungan dengan itu, MTN akan terus menjadi wadah penting dalam memastikan dasar dan pengurusan tanah negara sentiasa responsif terhadap keperluan semasa, cabaran masa hadapan serta kepentingan rakyat dan negara.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.