ad

Laluan pejalan kaki berbumbung di Jalan Jelutong mudahkan pelajar ke sekolah

29 Okt 2025, 8:17 AM
Laluan pejalan kaki berbumbung di Jalan Jelutong mudahkan pelajar ke sekolah

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) sedang membina laluan pejalan kaki berbumbung di Jalan Jelutong, berhampiran Persiaran Raja Muda Musa, bagi menghubungkan kawasan itu dengan Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Taman Selatan yang dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Pemangku Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBDK, Mohd Zaidi Zainal, berkata projek bernilai lebih RM500,000 itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kawasan yang menempatkan tujuh sekolah berhampiran dan sering mengalami kesesakan pada waktu puncak persekolahan.

"Kawasan ini digunakan oleh ribuan pelajar setiap hari sama ada berjalan kaki, menaiki bas atau motosikal. Pembinaan laluan berbumbung ini memberi kemudahan pelajar sekolah juga orang awam yang berjalan kaki serta dapat memberi perlindungan daripada cuaca hujan dan panas.

"Reka bentuknya minima dan praktikal, mengikut panduan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar. Kami juga melihat aspek pencahayaan dan jarak pandang supaya laluan ini benar-benar selamat digunakan pada waktu puncak," katanya ketika dihubungi media selangor.

Mohd Zaidi berkata, MBDK turut mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkaitan sebelum pembinaan dimulakan bagi memastikan jajaran laluan menepati keperluan komuniti setempat.

"Perbincangan bersama PIBG telahpun dibuat bagi mendapatkan pandangan ibu bapa dan pihak sekolah. Ia penting supaya reka bentuk laluan ini sesuai dengan corak pergerakan pelajar setiap hari," katanya lagi.

Beliau menjelaskan laluan berbumbung berkenaan tidak bersambung terus ke pintu masuk utama Stesen LRT3 Taman Selatan, namun disambung ke pondok bas berhampiran stesen bagi memudahkan pelajar dan pengguna awam yang menggunakan pengangkutan awam.