ad

Janji ditepati, Fadhlina kembali tetapkan sesi persekolahan ke Januari 2026

29 Okt 2025, 5:08 AM
Janji ditepati, Fadhlina kembali tetapkan sesi persekolahan ke Januari 2026

PUTRAJAYA, 29 OKT: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menunaikan komitmen awalnya untuk mengembalikan sesi persekolahan negara ke bulan Januari, selepas hampir tiga tahun menggalas tanggungjawab menerajui kementerian itu.

Menurutnya, pelaksanaan semula kalendar akademik berasaskan Januari adalah antara janji utama yang dibuat sebaik dilantik, sebagai usaha memulihkan semula struktur persekolahan pasca pandemik.

"Antara perkara awal yang saya janjikan sewaktu mula-mula menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan hampir tiga tahun lalu adalah untuk mengembalikan kalendar persekolahan kepada bulan Januari.

"Sewaktu ditanyakan di Parlimen Malaysia, saya sudahpun berikan bayangan bahawa sesi persekolahan akan dikembalikan ke Januari 2026, paling awal," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas perancangan rapi dan penyusunan semula jadual penggal persekolahan, cuti serta peperiksaan agar tidak mengganggu operasi institusi pendidikan.

"Kami mendengar permintaan ini dan sedaya upaya menyusun semua jadual serta ingin melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada semua warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas usaha memastikan pelaksanaan itu berjalan lancar menjelang Januari 2026.

Semalam Media Selangor melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan sesi persekolahan bagi tahun 2026 bermula 11 Januari untuk negeri Kumpulan A (Kedah, Kelantan, Terengganu) dan 12 Januari bagi Kumpulan B (termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Azman Ahmad berkata, ketetapan tersebut melibatkan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bawah KPM, dengan sesi persekolahan berakhir pada 31 Disember 2026.