ad

Sesi persekolahan 2026 bermula 11, 12 Januari: KPM

28 Okt 2025, 5:33 AM
Sesi persekolahan 2026 bermula 11, 12 Januari: KPM
Sesi persekolahan 2026 bermula 11, 12 Januari: KPM
Sesi persekolahan 2026 bermula 11, 12 Januari: KPM
Sesi persekolahan 2026 bermula 11, 12 Januari: KPM

SHAH ALAM, 28 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan sesi persekolahan bagi tahun 2026 bermula 11 Januari untuk negeri Kumpulan A (Kedah, Kelantan, Terengganu) dan 12 Januari bagi Kumpulan B (termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Azman Ahmad berkata, ketetapan tersebut melibatkan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bawah KPM, dengan sesi persekolahan berakhir pada 31 Disember 2026.

Katanya, langkah penyelarasan ini bertujuan memastikan keseragaman pelaksanaan kalendar akademik di seluruh negara serta memudahkan pentadbiran sekolah dan perancangan aktiviti pembelajaran.

“Bagi negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, sesi persekolahan bermula pada 11 Januari 2026.

"Manakala bagi Kumpulan B yang merangkumi Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan, sesi bermula pada 12 Januari 2026,” katanya dalam surat siaran bertarikh hari ini.

Menurut beliau, sesi persekolahan tahun 2027 bagi kedua-dua kumpulan sekolah akan dibuka serentak pada 4 Januari 2027.

Katanya, penyelarasan ini bertujuan memastikan kelancaran jadual akademik dan memudahkan perancangan pengajaran serta aktiviti sekolah secara lebih teratur dan berkesan.

"Surat siaran ini berkuat kuasa serta-merta dan semua jabatan pendidikan negeri diminta memaklumkan kepada pegawai serta pentadbir sekolah di bawah seliaan masing-masing," katanya.

Kalendar akademik penuh tahun 2026 boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi kementerian di https://www.moe.gov.my.