SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus mempergiat usaha memastikan kawasan pentadbirannya bebas daripada pembuangan sampah haram, khususnya di kampung tradisi seperti Kampung Jalan Kebun.
Timbalan Pengarah Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestrian Sisa MBSA, Haslina Ab Aziz, berkata sejak tahun lalu, pihaknya melaksanakan transformasi kutipan sampah menyeluruh dengan menggantikan sistem ‘Bin Point’ kepada kutipan dari pintu ke pintu sebanyak tiga kali seminggu.
“Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan penduduk, malah menghapuskan punca utama longgokan sampah di kawasan awam,” katanya.
Beliau berkata, MBSA turut memperkukuh kerjasama dengan KDEB Waste Management bagi memastikan setiap rumah memiliki tong sampah bertutup mengikut spesifikasi ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Kampung merangkap Pengerusi JPKK Kampung Jalan Kebun, Ahmad Muhidin Dasuki, kesal masih terdapat segelintir penduduk dan peniaga membuang sisa di lokasi yang telah ditutup.
Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu mencacatkan pemandangan dan mengundang haiwan liar seperti anjing serta monyet yang menyelongkar sampah hingga menyebabkan sistem saliran tersumbat.
“JPKK memandang serius perkara ini dan meningkatkan pemantauan dari masa ke masa. Kami menerima aduan hampir setiap hari dan bertindak segera untuk mengelak pembuangan haram berulang,” ujarnya.
Ahmad Muhidin turut menyeru penduduk agar memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran kerana tanggungjawab itu adalah milik bersama seluruh komuniti.




