SHAH ALAM, 9 SEPT: Permohonan Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) 2027 kini dibuka sehingga 30 November ini kepada usahawan dan peniaga yang memenuhi syarat ditetapkan.
Menerusi inisiatif itu, usahawan berpeluang menerima bantuan barangan bernilai sehingga RM30,000 bagi melengkapkan keperluan perniagaan serta membantu meningkatkan pendapatan dan jualan.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, permohonan boleh dibuat melalui pejabat daerah berdekatan.
“Bagi usahawan yang layak, permohonan boleh dibuat melalui pejabat daerah berdekatan.
“Borang permohonan juga boleh dimuat turun menerusi laman sesawang platselangor.com.my,” katanya.
Antara penerima yang pernah mendapat manfaat program itu ialah Puan Embun yang menjalankan perniagaan kek dan mufin serta Puan Syahrini, pengusaha gerai sate di Shah Alam.
DUMS diperkenalkan pada 2015 dengan nama Dana Usahawan Mikro Selangor sebelum dijenamakan semula pada 2024 bagi memperluas penyertaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Bagi tempoh 2023 hingga 2025, seramai 313 usahawan menerima manfaat program itu membabitkan peruntukan RM6.37 juta.
Bantuan disalurkan dalam bentuk mesin dan peralatan berdasarkan keperluan perniagaan penerima.







